Rejab
berlalu, Syaaban menyapa salam rindu. Kini, ramadhan menanti penuh ghairah
untuk di raikan. Tempoh yang tidak sampai sebulan itu, pastinya tidak terasa.
Sebulan
berpuasa, syawal menjelma. Bermacam resepi dipilih untuk juadah raya sedang
puasa masih lagi berjalan diantara siang dan malam ramadhan. Fenomena
masyarakat hari ini tidak dapat tidak pasti akan berbelanja besar untuk
menyambut Syawal. Sehingga ramai yang terlupa ramadhan adalah bulan penuh
berkat.
Kita
seringkali terleka memanfaatkan bulan ramadhan kerana terlalu teruja membuat
persiapan menjelang Syawal. Persoalannya, itukah yang dituntut oleh Islam?
Selamat menyambut ramadhan.
Puasa
sebenarnya bertujuan mendidik umat Islam untuk meningkatkan tahap keimanan dan
kesabaran. Juga mendidik diri untuk sentiasa menambah amal, mengingati saudara
yang kurang berkemampuan, di samping mengawal nafsu diri dalam aspek makanan. Malah,
di bulan ini sebenarnya peluang terbesar untuk kita diampunkan dosa dan
mengelakan diri dari maksiat.
Jika
kita lihat, bagaimana keadaan meja makan sewaktu kita berbuka? Pasti penuh
dengan pelbagai lauk-pauk mengikut selera seisi rumah. Akhirnya, lebihan
makanan tersebut dibazirkan. Al-Quran berfirman dalam surah Al-Isra:27 yang
membawa maksud:
“Sesungguhnya
orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.”
Ramadhan yang datang sekali
setahun mengukir berbagai sejarah dalam Islam. Antaranya penurunan Al-Quran itu
sendiri berlaku di bulan ramadhan. Kita seharusnya memuliakan bulan ini dengan
menyiapkan diri kita untuk menyambut ramadhan.
Antara persiapan yang boleh kita
mulakan dari sekarang ialah menentukan sasaran untuk dicapai dalam ramadhan
nanti. Contohnya, melakukan solat malam sekurang-kurangnya 10 kali, mengurangkan
bercakap perkara yang sia-sia dan solat tarawih secara penuh di masjid.
Selain daripada itu, apa salahnya
kita membeli dan mengamalkan makan buah kurma bermula hari ini. Sesungguhnya
memakan kurma itu adalah sunnah Rasulullah SAW. Berbuka puasa hanya dengan
kurma juga sudah mencukupi sebenarnya seperti yang biasa dilakukan oleh baginda
junjungan kita.
Ambang ramadhan yang kian dekat,
seharusnya memberi kita khabar gembira kerana bulan penuh keampunan datang lagi
bertandang. Bulan yang perlu kita hormati ini pastinya membawa seribu satu
nikmat buat kita seharusnya, Berdoalah kita agar umur kita masih dipanjangkan
untuk sama-sama melalui suasana ramadhan yang penuh berkat ini.
Marilah menjadi umat Islam yang
memaknai ramadhan dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan. Berlebih-lebihan
itu lebih banyak mendekatkan kita ke neraka. Buatlah persiapan dari segi
fizikal dan mental untuk menyambut ramadhan. Bulan yang diberkati Allah ini
wajar diraikan dalam suasanan yang selayaknya. Sesungguhnya Islam adalah apa
yang kita tunjukkan.
