Matlamat Hidup Ini

Allah matlamat kami ; Rasul itu ikutan kami ; Al-Quran itu perlembagaan kami ; Jihad jalan kami; dan Mati pada jalan Allah ialah setinggi-tinggi cita-cita kami

Sunday, June 16, 2013

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan!



Rejab berlalu, Syaaban menyapa salam rindu. Kini, ramadhan menanti penuh ghairah untuk di raikan. Tempoh yang tidak sampai sebulan itu, pastinya tidak terasa.

Sebulan berpuasa, syawal menjelma. Bermacam resepi dipilih untuk juadah raya sedang puasa masih lagi berjalan diantara siang dan malam ramadhan. Fenomena masyarakat hari ini tidak dapat tidak pasti akan berbelanja besar untuk menyambut Syawal. Sehingga ramai yang terlupa ramadhan adalah bulan penuh berkat.

Kita seringkali terleka memanfaatkan bulan ramadhan kerana terlalu teruja membuat persiapan menjelang Syawal. Persoalannya, itukah yang dituntut oleh Islam?

Selamat menyambut ramadhan.

Puasa sebenarnya bertujuan mendidik umat Islam untuk meningkatkan tahap keimanan dan kesabaran. Juga mendidik diri untuk sentiasa menambah amal, mengingati saudara yang kurang berkemampuan, di samping mengawal nafsu diri dalam aspek makanan. Malah, di bulan ini sebenarnya peluang terbesar untuk kita diampunkan dosa dan mengelakan diri dari maksiat.

Jika kita lihat, bagaimana keadaan meja makan sewaktu kita berbuka? Pasti penuh dengan pelbagai lauk-pauk mengikut selera seisi rumah. Akhirnya, lebihan makanan tersebut dibazirkan. Al-Quran berfirman dalam surah Al-Isra:27 yang membawa maksud:

Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan  itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.”

Ramadhan yang datang sekali setahun mengukir berbagai sejarah dalam Islam. Antaranya penurunan Al-Quran itu sendiri berlaku di bulan ramadhan. Kita seharusnya memuliakan bulan ini dengan menyiapkan diri kita untuk menyambut ramadhan.

Antara persiapan yang boleh kita mulakan dari sekarang ialah menentukan sasaran untuk dicapai dalam ramadhan nanti. Contohnya, melakukan solat malam sekurang-kurangnya 10 kali, mengurangkan bercakap perkara yang sia-sia dan solat tarawih secara penuh di masjid.

Selain daripada itu, apa salahnya kita membeli dan mengamalkan makan buah kurma bermula hari ini. Sesungguhnya memakan kurma itu adalah sunnah Rasulullah SAW. Berbuka puasa hanya dengan kurma juga sudah mencukupi sebenarnya seperti yang biasa dilakukan oleh baginda junjungan kita.
Ambang ramadhan yang kian dekat, seharusnya memberi kita khabar gembira kerana bulan penuh keampunan datang lagi bertandang. Bulan yang perlu kita hormati ini pastinya membawa seribu satu nikmat buat kita seharusnya, Berdoalah kita agar umur kita masih dipanjangkan untuk sama-sama melalui suasana ramadhan yang penuh berkat ini.

Marilah menjadi umat Islam yang memaknai ramadhan dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan. Berlebih-lebihan itu lebih banyak mendekatkan kita ke neraka. Buatlah persiapan dari segi fizikal dan mental untuk menyambut ramadhan. Bulan yang diberkati Allah ini wajar diraikan dalam suasanan yang selayaknya. Sesungguhnya Islam adalah apa yang kita tunjukkan.

No comments:

Post a Comment